Thursday, June 18, 2009

Peranan Ulama Dalam Silat


MAT Kilau seorang pahlawan agung yang berjuang menentang penjajahan Inggeris.


BARANGKALI perbicaraan yang menyentuh secara langsung tentang persilatan adalah masih sangat langka. Keterlibatan penulis dalam membicarakan perkara persilatan ini juga amat sedikit berbanding penulisan-penulisan selainnya.

Oleh itu, kelemahan-kelemahan dalam perbicaraan ini rasanya sangat banyak, apatah lagi dunia persilatan hanyalah penulis kenali sewaktu masih kanak-kanak dan ditinggalkan begitu lama, sejak tahun 1960-an.

Jenis-jenis silat memang banyak penulis ketahui, namun penulis bukanlah seorang pelajar mengenai bidang itu secara tekun tetapi hanyalah sebagai pemerhati saja. Di antara silat-silat yang penulis ketahui ialah Silat Pengian, Silat Kuntau, Silat Harimau, Silat Buton Kalidupa, Silat Bugis Bone, Silat Sinding, Silat Pukul Tujuh, Silat Minangkabau, Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Patani, Silat Abjad dan Al-Mu'azat.

Peranan ulama dalam silat hanya dapat penulis tonjolkan kepada pemikiran Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan keterlibatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam jihad fi sabilillah.

Kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu dipercayai menggunakan 'senjata' qalam untuk mengajar umat Melayu dna juga senjata pedang unutk perjuangan di medan jihad fi sabilillah demi mempertahankan kesucian Islam dan watan daripada penjajah.

Jika kita anggap ilmu silat adalah untuk mempertahankan diri peribadi, jihad pula adalah mempertahankan Islam dan tanah air.

Jadi kedua-dua ulama kita itu adalah lebih agung, kerana banyak jenis silat yang dikuasainya. Yang dimaksudkan di sini ialah:

*silat menggunakan qalam/pena,

*silat kalam/lidah,

*silat menggunakan siasah/politik, dan lain-lain termasuklah

*silat ketangkasan di medan juang yang sebahagiannya dijadikan sebagai satu cadang seni atau budaya.

Pelajaran silat dalam Kerajaan Pontianak

Tidaklah janggal pada kesempatan ini penulis mulakan petikan mengenai silat yang termaktub dalam sebuah manuskrip "Syair Kerajaan Pontianak".

Kerajaan Pontianak (Indonesia) memang bukan dalam Malaysia, tetapi adalah sebuah kerajaan Melayu yang didirikan oleh Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri yang direstui dan dirasmikan oleh pahlawan Melayu-Bugis, Raja Haji bin Upu Daeng Celak.

Raja Haji pula adalah seorang pahlawan Melayu agung sesudah Hang Tuah, kerana hampir keseluruhan negeri-negeri Melayu pernah dikunjunginya. Akhir riwayat Raja Haji gugur sebagai syahid fi sabilillah di Teluk Ketapang, Melaka.

Syair Kerajaan Pontianak ditulis beberapa tahun setelah berdirinya Kerajaan Melayu-Islam Pontianak, dalam petikan tersebut juga jelas mencerminkan minat dan kesungguhan Sultan Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri terhadap seni dan budaya silat. Untuk lebih jelas dan merupakan dokumen sejarah persilatan Melayu, Bab Silat dalam Syair Kerajaan Pontianak penulis sebutkan beberapa petikan awal darinya, iaitu:

Setelah sudah berperi-peri,

baginda berangkat lalu berdiri

Panggilkan Mat Raiyat suruh ke mari,

serta dengan Wan Bakari.

Wan Ahmad, Wan Bakar datanglah sudah,

kepada baginda tunduk menyembah

Dengan segeranya baginda bertitah,

Adalah sedikit hendak diperintah.

Baginda tersenyum seraya berkata,

Jikalau suka rasanya cita

Tuan-tuan yang muda ajarkan kita,

diajarkan silat bermain senjata.

Tuan ajarkan padan-padan,

boleh dilihat usulnya badan

Bagaimana di dalam contoh teladan,

yang mana patut main di medan.

*Tulisan Sheikh Daud Abdullah Al-Fathani mengenai jihad dalam Islam

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah ulama besar dunia Melayu yang terlibat langsung bersama-sama Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam medan jihad melawan pencerobohan Siam di bumi Patani Darus Salam.

Tulisan-tulisan beliau mengenai hukum jihad telah penulis perkenalkan dalam penulisan-penulisan sebelum ini, di mana jelas menggambarkan bahawa Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah seorang ulama pejuang Islam sebenar dan sejati serta bertanggungjawab terhadap ummah dan watan Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan kuffar.

Sebagai tambahan, di sini penulis petik pula pandangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tentang jihad yang beliau tulis dalam kitab Bughyat at-Thullab.

Transliterasi selengkapnya ialah: "Dan setengah daripadanya, perang sabil bagi kuffar, yakni wajib bagi Imam itu pergi perang kepada negeri mereka itu, maka iaitu fardu kifayah dengan ijmak. Atau Naib Imam pergi dengan tentera kerana perang bagi mereka itu.

"Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia, dan ditaruhkan senjatanya, dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu. Maka hendaklah diperbuat akan salah suatu daripada keduanya maka gugurlah fardu kifayahnya. Ini jika tiada mereka itu datang kepada negeri kita.

"Maka jika datang ia kepada negeri Islam maka jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ... " (Bughyat at-Thullab, jilid 1, hlm. 95).

Ulasan dan pandangan, daripada kalimatnya "Maka jika datang ia kepada negeri Islam ... " dapat kita bandingkan peristiwa penjajahan bangsa Barat-Belanda dan Inggeris di dunia Melayu pada zaman Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dengan peristiwa Amerika, pengganas terbesar dunia, yang telah menjajah Afghanistan dan Iraq.

Sebagaimana telah disebutkan bahawa Belanda dan Inggeris telah menjajah dunia Melayu, perlu pula dinyatakan di sini bahawa Patani juga tidak terlepas daripada dijajah, bukan oleh bangsa Barat tetapi oleh Siam. Semua penjajah yang tersebut adalah bukan agama Islam kerana mereka telah menjajah negeri Islam.

Oleh itu, menurut Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada sambungan kalimat di atas bahawa "jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ...." berperang atau jihad terhadap mereka. Bangsa-bangsa yang telah menjajah dunia Melayu, adalah bukan beragama Islam.

Oleh itu fenomena yang berlaku sekarang, tuduhan umat Islam sebagai pengganas adalah tidak berasas sama sekali, kerana tidak terdapat dalam sejarah bahawa bangsa-bangsa yang beragama Islam datang menjadi penjajah di dunia Melayu.

Sebenarnya bangsa-bangsa penjajah itulah yang layak dilabelkan sebagai pengganas atau terrorist atau penzalim. Gelaran tersebut terdapat dua golongan yang sedang bermusuhan, yang pertama ialah pengganas yang sedang berkuasa (pemerintah) dan yang kedua ialah pengganas yang tidak berkuasa (rakyat).

Perjuangan jihad yang pernah dilakukan oleh ulama kita seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan lain-lain tidak dapat disamakan dengan kedua-dua golongan pengganas yang tersebut di atas, kerana jihad Islam adalah cukup jelas berdasarkan perintah daripada Allah dan para Rasul-Nya. Siapa saja yang berjihad menurut perintah Allah dan Rasul-Nya adalah benar, tidak terdapat keraguan di dalamnya.

Oleh itu, wajib dipertahankan kebenaran dan kesuciannya daripada pentafsiran- pentafsiran yang tidak betul disusun demikian rapi oleh pihak-pihak tertentu yang telah merasa lazat makanan dan minuman segar tetapi beracun yang mereka peroleh dari musuh-musuh Islam.

Mengenai membuat persiapan sebagai benteng pertahanan dapat kita ketahui dari kalimat beliau, "Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia ...".

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyentuh pula tentang persiapan persenjataan dengan sambungan kalimatnya "dan ditaruhkan senjatanya" maksudnya bahawa dalam benteng pertahanan perlulah ada tersimpan persenjataan yang cukup dan siap digunakan apabila diperlukan.

Patriotik bangsa adalah sangat diperlukan, yang beliau gambarkan pada sambungan kalimatnya "dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu". Kalimat ini dapat dihubungkaitkan dengan "ilmu silat" kerana orang Melayu yang sanggup melawan musuh pada zaman itu perlu mempunyai ketangkasan.

Ketangkasan dalam bentuk fizik adalah mempelajari ilmu silat. Dan tidak dapat dinafikan diperlukan "kekuatan dalaman" atau "mental" atau "rohani". Baik Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani mahu pun Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga pernah mengijazahkan wirid-wirid pertahanan diri untuk menghadapi musuh dalam peperangan.

Wirid pertahanan diri Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani

Untuk memantapkan keyakinan diri menghadapi jihad, dalam karyanya berjudul Mulhik fi Bayanil Fawa'id an-Nafi'ah fil Jihadi fi Sabilillah atau judul terjemahan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri iaitu "Suatu Perhubungan Pada Menyatakan Akan Beberapa Faedah Di Dalam Perang Sabilillah", beliau membahagi dalam risalah tersebut kepada empat bahagian, iaitu:

lFaedah Yang Pertama Pada Menyatakan Ayat Quran Yang Jadi 'Azimat Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah, Dan Peliharaan Yang Menegahkan Daripada Kejahatan Orang Kafir.

lFaedah Yang Kedua Pada Menyatakan Doa Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah Dan Lainnya.

lFaedah Yang Ketiga Pada Menyatakan Doa Yang Membinasakan Bagi Segala Seteru, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Seteru.

lFaedah Yang Keempat Pada Menyatakan Doa Membinasakan Seteru, Dan Segala Kafir, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Mereka Itu.

Salah satu amalan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah diterima oleh pahlawan Mat Kilau. Mengenai ini termaktub dalam Kitab Mat Kilau, cetakan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, 1970, hlm. 23, iaitu "Ini doa diambil daripada Sheikh Abdus Shamad Palembang, siapa yang mengamalkan doa ini nescaya tidak mengenai padanya pedang, atau panah, atau segala rupa kejahatan dari seteru ... "Yang disebut dalam Kitab Mat Kilau itu memang termaktub dalam karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut yang beliau tempatkan pada Faedah Yang Kedua.

Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah menterjemahkan wirid untuk perang itu daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Dalam empat buah karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga membicarakan wirid yang sama, di antaranya dalam kitab Mun-yat al-Mushalli. Selengkapnya lihat Mun-yat al-Mushalli yang telah penulis transliterasi (lihat terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1424 H/2003 M hlm. 96-98).

Walau bagaimanapun, tidak terdapat terjemahan wirid itu oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti yang dilakukan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. . Perlu juga penulis sentuh di sini bahawa dalam terjemahan wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut ada hubungkait dengan persilatan. Bahawa ilmu silat yang pernah penulis pelajari adalah melalui tiga jalan, iaitu:

*Belajar secara fizik di gelanggang.

*Belajar wirid-wirid yang boleh mendatang gerak dengan sendirinya.

*Mengabungkan pelajaran fizik dan wirid.

Pada Faedah Yang Keempat wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani terdapat satu doa yang sama dengan yang diamalkan dalam Silat Al-Mu'azat. Walaupun dalam Silat Al-Mu'azat tidak mempelajari gerak fizik, tetapi apabila mengamalkan wirid, maka gerak fizik akan datang dengan sendirinya.

Silat Al-Mu'azat pernah dikembangkan di Johor oleh Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam tahun 1970-an. Wirid yang diamalkan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, yang sama dengan amalan dalam Silat Al-Mu'azat itu, lebih lengkap ditulis oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab Ward az-Zawahir (lihat hlm. 189).

Kesimpulan dan penutup

Dari semua yang telah dibicarakan di atas penulis berpendapat bahawa:

lSeni dan budaya persilatan diajarkan dalam dua bentuk, iaitu dalam gerak fizik dan kerohanian..

lIlmu persilatan yang menggunakan wirid, hizib, doa, dan yang sejenis dengannya adalah berasal dari ajaran Islam yang benar. Sebaliknya tidak dapat dinafikan terdapat juga yang menggunakan mantera, jampi, serapah, dan yang sejenis dengannya. Mengenai ini sukar dijejaki sumber-sumber asal hingga ke atasnya. Oleh itu, ada yang boleh diamal dan digunakan. Sebaliknya ada pula yang mengandungi unsur khurafat yang menjerumuskan ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam.

lUlama-ulama Nusantara yang terlibat dalam jihad fi sabilillah mempunyai asas ilmu menggunakan senjata. Mereka memiliki ilmu ketahanan diri yang bersambung dari satu guru ke satu guru hingga sampai kepada pahlawan-pahlawan Islam terdahulu bahkan sumber amalan ada yang berasal dari Rasulullah SAW sendiri.

lUlama-ulama Nusantara yang melakukan jihad fi sabilillah demi untuk memperjuangkan Islam dan mempertahankan negeri-negeri Melayu dari dijajah oleh bangsa yang bukan Islam adalah wajib diteruskan secara bersambung dari satu generasi ke generasi yang berikutnya.

Sekianlah yang dapat disampaikan pada ruangan kali ini, mudah-mudah kita dapat menghidupkan seni dan budaya yang dibenarkan syarak dan mengetepikan apa saja seni dan budaya yang bertentangan dengan syarak.

Mudah-mudahan hanya pemikiran ulama yang betul saja yang menjadi ikutan dan pemikiran yang tiada betul walau dari siapa pun datangnya supaya dihindari oleh-Nya.

Tuesday, June 16, 2009

BIODATA RASULULLAH SAW

Salawat dan Salam Untuk Nabi Junjungan Muhammad SAW yang kita cintai dan rindui......



اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم


BIODATA RASULULLAH SAW

· Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
· Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571
Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah
Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
· Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
· Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
· Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
· Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba
perempuan bapa Rasulullah SAW).
· Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
· Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali
Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).

USIA 5 TAHUN

· Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat
untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN

· Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa '
(sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah).
· Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)
dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN

· Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
· Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).

· Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan
perniagaan..
· Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira
(Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang
pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa
itu.

USIA 20 TAHUN

· Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ' ,
jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah
14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan
berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
· Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk memberi
pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN

· Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah
binti Khuwailid Al-Asadiyah.
· Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.
· Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya
yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk
meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
· Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN

· Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah.
· Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk
Makkah.
· Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke
tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan
batu tersebut.

USIA 40 TAHUN

· Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul
akhir zaman.

USIA 53 TAHUN

· Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar
Al-Siddiq.
· Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN

· Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12
Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW

§ Khadijah Binti Khuwailid.
§ Saudah Binti Zam'ah.
§ Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
§ Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab).
§ Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
§ Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
§ Zainab Binti Jahsy.
§ Maimunah Binti Harith.
§ Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
§ Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin ' ; Ibu Orang Miskin).

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

1. Qasim
2. Abdullah
3.. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra '

ANAK TIRI RASULULLAH SAW

Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina
Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah,
Khadijah adalah seorang janda).

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW

IBU SUSUAN/SAUDARA SUSUAN
1. Thuwaibah 1. Hamzah
2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad


SAUDARA SUSUAN
1. Halimah Al-Saidiyyah 1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
2. Abdullah bin Harith bin Abdul ' Uzza
3. Syaima ' binti Harith bin Abdul ' Uzza
4. ' Aisyah binti Harith bin abdul ' Uzza


BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW
(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)

1. Al-Harith
2. Muqawwam
3. Zubair
4. Hamzah ***
5. Al-Abbas ***
6. Abu Talib
7. Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
8. Abdul Ka ' bah
9. Hijl
10. Dhirar
11. Umaimah
12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
13. Atiqah ##
14. Arwa ##
15. Umaimah
16. Barrah
17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***

*** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.



Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai
aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam
syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )



اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم


Nabi Muhammad SAW - Manusia agong


KENALI NABI MUHAMMAD S.A.W. SECARA LAHIRIAH. Begitu indahnya sifat fizikal
Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua
muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran
apa yang disampaikan oleh Baginda.


Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:


- Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw..
- Aku melihat cahaya dari lidahnya.
- Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari
terbit.
- Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
- Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
- Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
- Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
- Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
- Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
- Wajahnya seperti bulan purnama.
- Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
- Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa
marah.
- Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
- Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli
di bahagian sudut.
- Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali
pertama kali melihatnya.
- Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
- Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
- Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
- Janggutnya penuh dan tebal menawan.
- Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.
- Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
- Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
- Rambutnya sedikit ikal.
- Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah
bahu tapi disisir rapi.
- Rambutnya terbelah di tengah.
- Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur
dari dada ke pusat.
- Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya
lebih drpd biasa.
- Seimbang antara kedua bahunya.
- Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar
dan tersusun dgn cantik.
- Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
- Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
- Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
- Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
- Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan
putih.
- Warna putihnya lebih banyak.
- Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
- Warna kulitnya putih tapi sihat.
- Kulitnya putih lagi bercahaya.
- Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.
- Badannya tidak gemuk.
- Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran
sederhana lagi kacak.
- Perutnya tidak buncit.
- Badannya cenderung kepada tinggi, semasa berada di kalangan org ramai
baginda kelihatan lebih tinggi drpd mereka.

KESIMPULANNYA :
Nabi Muhammad sa.w adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh
sepanjang zaman.
Baginda adalah semulia-mulia insan di dunia.


NB:

Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk
mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan RasulNya mencintai kita
kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka. Amin...

Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang menyayangimu
di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang
mengasihmu di akhirat kelak.

Sunday, June 14, 2009

Pergantungan

DARI PENA BULUH

Aku memandang alur sungai ini, anginnya membawa cerita-cerita manusia. Ada gurindam yg ingin aku sampaikan pd mereka. Ada yg berhajat pada kerja, ada yg berhajat pada perniagaan, ada yg berhajat pada pangkat, ada yang berhajat pada berkahwin. Terlalu ramai yg berhajat pada manusia, sikit sangat kepada Tuhan. Ingatlah tuan-tuan, ada manusia yg Allah serahkan urusan mereka padaNya, ada pula yg Allah serahkan pada manusia. Terpulang pada siapa yg memulangkan tujuan hajat. Yg pada Allah bergantunglah mereka pada Allah, yg pada manusia bergantunglah mereka pada manusia. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.

Dalam pada itu, ada guru yg mursyid lagi siddiq, yg pada dadanya terdapat rahsia-rahsia dunia akhirat yg dalam-dalam. Tidak kurang juga yg bertemu Guru, meminta didoakan. Maka Yang Mulia itu mendoakan pd anak-anak muridnya semoga selamat. Maka ada yg berjaya, ada pula yg tidak. Yg meminta tidak tercapai kerjanya, yg berkeinginan tidak dapat perniagaannya, yg berpangkat tetap pd pangkatnya, yg merancang masih menunggu tarikh pelamin. Ada yg sedih, ada yg kecewa, tp sedikit-sedikit yg putus asa. Begitulah ajaran YM Tuan Guru pd anak murid kesayangan yg mahu diambil amal, kata Yang Mulia “kita boleh sedih dan kecewa; tetapi jangan PUTUS ASA kerana orang MUKMIN tidak boleh putus asa”.

Ingatlah wahai tuan-tuan, di dalam berhajat itu ada yg dapat, tapi tak berjaya; tak dapat, tapi berjaya; tak dapat, tak pula berjaya; dan dapat lagi pula berjaya. Tuan-tuan yg lebih tahkik dgn ilmu, maka fikirlah sedalam-dalam perdu hati yg hidup diantara empat itu yg manakah dikatakan peringkat “selamat”. Kadang-kadang kita dapat, tapi sebenarnya dapat kita itu akan melalaikan. Kekadang pula kita tak dapat, tetapi kerana tidak dapat itu kita berjaya dari terlalai. Alangkah malangnya pada mereka yg tidak ada pd tangkal dunia, dan tidak pula pd akhirat; dan beruntunglah pada mereka yg dilindungi oleh Allah didunia dan akhirat. Kerana pada mereka itu pergantungan yg nyata pada Tuhan mereka. Kata Guru “Tidaklah baik kerana dunia, akhirat ditinggalkan, juga tidak akan baik kerana akhirat dunia diabaikan. Ambillah kedua-duanya”.

Pergantungan yg sebenar-benar pergantungan, yg digigit kuat dgn gigi geraham pemahamannya. Kadang-kadang yg berusaha mengira-ngira usaha mereka, yg berdoa mengira-ngira doa mereka. Apakah mereka kira dgn usaha itu keputusan dari segala sesuatu? Malanglah bg orang yg bergantung pd amal, dan menyebut-nyebut amal mereka dgn suara yg lantang. Yg bergantung pd ilmu, lalu tidak bijak bersembunyi di sebalik ilmunya. Paling biadap apabila menyebut-nyebut pula walaupun hajat sudah didoa Guru, masih juga tidak dapat. Padahal Guru itu berkehendakkan selamat, bukanlah hebat. Fahamlah sebenarnya-benarnya maksud pergantungan itu, tuan-tuan juga faham didalam sedikit isi ucapan “Bismillah hir rahman nir rahim” dan “Lahaulawala quwata illa billah” itu. Tidak terpakai amal oleh keputusan itu, tidak terkesan Tuhan oleh sembahyang itu, terbatallah ikhlas yg tiada ihsan. Apabila disitu, maka akan redha lah tuan-tuan, walaupun usaha dibalas atau tidak. Asalkan diselamatkan, asalkan dipimpin oleh Allah; Yg Maha Mengetahui sifatNya. Kata guru dulu, “tunduklah badan dan hati, dan tidak hanya badan, kerana bila kita mengangkat bendera putih maka disitulah Allah akan pimpin kita”.

Wahai tuan-tuan, aku terjumpa didalam Cekak Hanafi barang-barang yg sgt banyak mengajar erti hidup, yg dapat dilihat oleh dua mata dan hati bg yg dihidupkan, berbanding bernyawa tetapi tidak pula celik. Maka ada pula dikalangan aku ini yg sangat lokek pd wang, lokek pd masa, lokek pd tenaga, sehinggapun pd perjuangan. Padahal semua itu atas keizinan semata-mata. Pernah dulu YM Tuan Guru bertanya “Pernahkah kamu melihat sahabat-sahabat yg mengorbankan wang utk perjuangan Nabi dulu? Adakah antara mereka yg miskin papa kedana? Dibawah Muhammad Rasulullah itu lahirnya 10 org jutawan. Tetapi, Nabi sendiri bukan.” Apalah kita bergantung pd wang utk hidup? Sehingga begitu sekali takutnya. Wahai tuan-tuan yg tahkik, perbandingkanlah antara wang dan ilmu pd pertimbangan yg dalam. Manakah yg lebih berat timbangannya? Malanglah mereka yg mahukan gelaran pangkat, tetapi terlalu sedikit bekerja atas namanya. Yg luas telinga dan matanya apabila dipuji org, tapi buta pekak dan tuli apabila diminta bantuan dan diberi pandangan.

Sesungguhnya Cekak Hanafi ini, dan Gurunya, sgt banyak mengajar tentang pemandangan hidup dan adab. Mengajar sesuatu yg ada pulang pulihnya, yg dapat pula selamat. Jangan asyik memandang kuman jauh diseberang, kerana aku ini pun terlalu banyak dosa nya, yg miskin berbanding Maha Kaya, yg tidak ada apa-apa berbanding Maha Mengetahui, yg terlalu rendah berbanding Maha Agung, yg bodoh berbanding Maha Bijaksana. Begitulah ajaran YM Tuan Guru. Ambillah pengajaran dr Yang Mulia ini utk diamal seluruh hidup. Kenal lah Cekak Hanafi ini seperti tuan-tuan mengenal huruf Alif, Ba, Ta, dr huruf dapat membuat perkataan, dr perkataan menjadi ayat, dr ayat menjadi syair, gurindam, pantun dan sebutan-sebutan yg indah. Begitulah juga lah Cekak Hanafi ini jika diseluk perdu-perdunya, akhirnya berbalik pd hati, yg pergantungannya hanya pd Allah. Apabila duit bukan lagi dikejar, tapi dicari. Terjadilah ia nya rezeki. Apabila wang didalam poket, dan bukan lagi didalam hati. Apabila anak-anak terus-terus mendoakan ibu bapa. Apabila anak murid mendoakan Guru nya. Di situ lah nanti timbulnya keramat, hikmat dan berkat; yg menjadikan kenalan kepada kawan, dari kawan menjadi sahabat.

Wahai tuan-tuan, tidaklah pena aku ini menulis barang hal yg terlalu dalam sifat pemahamannya, tidak pun sampai ketengah laut, hanyalah pada batu-batu kecil yang terlalu benar sikitnya. Hanyalah pokok-pokok hati untuk memperbetulkan niat, menjelaskan matlamat dan semoga tetap dibelakang perjuangan bersama-sama. Moga-moga adanya segerak, senafas, seguru. Tulisan yg hanyalah dari seorang tua pohon sungai makin luput umurnya, yg mengharapkan selamat nyawanya, ibu nya, bapa nya dan Guru nya YM Md Radzi Hj Hanafi.

Jika ada lagi umurku, akan pekat lah pena buluh ini lagi nanti.

~si tua~